10 Mutiara Sejarah Bahasa Melayu Masalah: 1. Isu: Rasanya ramai tidak tahu bu…


10 Mutiara Sejarah Bahasa Melayu

Masalah:

1. Isu:
Rasanya ramai tidak tahu bulan Oktober setiap tahun ialah Bulan Bahasa Kebangsaan, yang semenjak hampir 50 tahun diulang sambut. Ketidaktahuan ini mungkin banyak sebabnya, dan daripada banyak-banyak sebab itu, ialah mungkin kerana kita tidak tahu tentang sejarah bahasa Melayu kita.

2. Simptom:
Bahasa Melayu menjadi “mandom” kerana akar sejarah Jawinya telah diputuskan. Bahasa Melayu juga menjadi “lemau” kerana wibawa bahasa, yang terdiri daripada ulama Melayu Jawi diletakkan pada orang yang tidak layak, iaitu sasterawan khayali dan shok sendiri. Bahasa Melayu menjadi “lembap” kerana bahasa ini disangka semata-mata perjuangan badan kerajaan yang amat ma‘ruf dengan cara kerja yang jenuh berbirokrasi.

3. Punca:
Kemandoman, kelemauan dan kelembapan bahasa Melayu kerana dasar falsafah bahasa tidak lagi menuruti falsafah zaman kegemilangan persuratan bahasa Melayu. Dari segi zahirnya sekalipun, bandingkan sahaja bahasa yang kita gunakan sekarang dengan karya yang dikarang oleh Hamzah Fansuri, Nur al-Din al-Raniri, Dawud al-Fatani, Raja Ali Haji, Wan Ahmad al-Fatani dan Za‘ba sendiri (itupun jika anda tahu mereka itu ialah bahawasan unggul Melayu)

Perungkaian:

4. Muqaddimah:
Mahaguru Tan Sri Prof Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas menyebutkan bahawa bahasa ialah saksi sunyi kehebatan pemikiran sesuatu bangsa. Pernahkan anda diceritakan tentang bagaimana bahasa Melayu mempunyai perkataan-perkataan serta istilah-istilah yang menjangkau saujana alam pemikiran, yang mampu tiba ke segenap sempadan ke‘ilmuan, dan yang pengarangnya ialah ‘ilmuwan yang mencapai tahap karya yang luhur sejagat (universal) dalam sejarah dunia?

5. Kerangka I:
Terkurnia keagungan dan keluhuran bahasa Melayu hanya setelah kedatangan Islam memberi ma‘na diri dan menyatukan pelbagai etnik di Kepulauan Asia Tenggara menjadi qawm Muslimin Melayu. Oleh itu dalam meninjau sejarah bahasa Melayu, peranan besar Islam perlu diberi penekanan dan diselidik dengan benar, tepat dan rinci.

6. Kerangka II:
Melihat peranan Islam bukan semata melihat zahir sesuatu kesultanan atau kerajaan, atau temuan-temuan arkeologi sejarah semata-mata. Sebaliknya hendaklah melalui ketajaman mata aqal yang menembusi haqiqat batin Melayu-Islam itu. Hanyasanya dalam karya-karya ulama yang dikarang dalam bahasa Jawi, serta pewaris-pewaris mereka yang hidup menjaga turath ke‘ilmuwan mereka hingga kini ialah jalan mengetahui dan memahami haqiqat batin itu.

7. Bukti:
Adapun Melihat sahaja karya bahasa Jawi ‘ilmuwan Melayu, tidak dapat tiada kita ‘kan mengakui bahawa ia mata rantai yang bersimpul-kukuh dengan tali ke‘ilmuan Islam, berpuncakan kitab teragung, ya‘ni al-Qur’an. Bahasa Jawi sebagai mithalan, memakai huruf ‘Arab, ya‘ni huruf yang dipakai oleh al-Qur’an; nahunya juga dijelaskan menuruti qa‘idah nahu ‘Arab, ya‘ni mirip nahu yang digunakan untuk memahami bahasa al-Qur’an; dan sebilangan besar istilah serta ma‘na al-Qur’an, telah memperkaya perbendaharaan perkataan Melayu Jawi. Sehinggakan, jika dibuang perkataan-perkataan, nahu-nahu dan huruf-huruf Jawi itu dari bahasa Melayu – apalah lagi yang dapat dinamakan bahasa Melayu itu? Dapatkah kita bayangkan bahasa Melayu kita tanpa perkataan: ‘ilmu, fikir dan ‘aqal?

8. Situasi:
Sungguhpun nyata terang ibarat matahari di waktu siang akan peranan besar Islam mengangkat martabat bahasa Melayu ke tahap yang paling luhur, masih lagi pemuka-pemuka bahasa kini berkira-kira, teragak-agak, bahkan sengaja memekakkan telinga dan membutakan mata hatta hingga ada yang ketegar menafikannya. Lebih selesa mereka-mereka itu bernaung di bawah simpulan-simpulan aneh para orientalis yang menda‘wa Islam perosak keaslian bahasa Melayu yang menghapuskan rupa Sanskrit, justeru unsur Hindu yang kononnya itulah asli Melayu; malah menjadi penganjur yang berlebih-lebihan pula menghapuskan sebarang rupa-bentuk keislaman bahasa Melayu: seperti menggantikan huruf Jawi dengan abjad yang dipakai sekarang dan menguatkuasakannya dalam seluruh lapangan pendidikan supaya satu demi satu generasi bangsa Melayu semakin alpa dan lalai daripada mengenal bahasawan Melayu yang bertaraf ‘ulama, dengan hanya pandai menyebut nama para sasterawan negara yang martabat ke‘ilmuannya boleh diduga-duga.

9. Ikhtiyar:
Mengetahui akan begitu dahshatnya pelbagai kejadian yang berlaku kini dan bagaimana jauhnya kita dengan haqiqat sejarah bahasa Melayu, maka perlulah ada ikhtiyar–––sungguhpun kerdil dan kecil–––tetapi istiqamah dengan kebenaran dan ke‘ilmuwan. ‘Ibarat menebas dan mencabut lalang kekeliruan yang telah berakar, begitulah cabaran dan tanggungjawab yang perlu dipikul bagi meratakan semula belukar dan menggembur tanah subur supaya buah peradaban kembali berputik.

Kesimpulan:

10. Buah:
Salah satu ikhtiyar kami di Akademi Jawi Malaysia (Klasika Media) ialah menerbitkan Siri Persuratan Jawi yang kini sudah menyusun 7 judul baharu semenjak tahun 2017 dimulakan. Adapun inilah ikhtiyar kecil kami dalam mempersembahkan keagungan dan keluhuran bahasa Melayu dalam mutu terbaik, berdarjat dan bermaruah untuk bacaan dan ruju‘kan mereka yang ingin berfikir dan memerhati. Salah satu judulnya ialah Kitāb Naḥū Jāwī: Petuturan Melayu, ‘Abdu’LLāh ‘Abdu’r-Raḥmān yang membicarakan mengenai aturan bahasa Jawi yang amat berguna bagi memahami rupa dan bentuk bahasa Jawi. Di dalamnya terkarang pengenalan mengenai bagaimana peranan besar Islam dalam membina sebuah bahasa baharu, bahasa Islam, iaitu bahasa Melayu. Adapun dalam semangat Bulan Bahasa Kebangsaan ini, saya amat mengeshorkan ia dibaca dan dibicarakan agar sambutan bulan bahasa itu bukan semata-mata acara kerajaan menyambut menteri (yang akhirnya menterinya pun tak datang).

– Muhammad Teja

Boleh dapatkan naskhah Kitāb Naḥū Jāwī: Petuturan Melayu, ‘Abdu’LLāh ‘Abdu’r-Raḥmān di sini:
https://www.kafilahbuku.com/kitab-nahu-jawi-petuturan-melayu-abdu-ll-h-abdu-r-rahman
https://www.kafilahbuku.com/kitab-nahu-jawi-petuturan-melayu-abdu-ll-h-abdu-r-rahman
https://www.kafilahbuku.com/kitab-nahu-jawi-petuturan-melayu-abdu-ll-h-abdu-r-rahman

Boleh juga Whatsapp:
www.wasap.my/60194398529
www.wasap.my/60194398529
www.wasap.my/60194398529

*kredit gambar: Pelita Dhihin




Source

Posted on: October 6, 2017, by : admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *